Friday, August 1, 2008

* Pengalaman ibu bekerja *


Bagi Farazehan Abd. Rahim, 29, hasrat untuk menyusukan bayi secara eksklusif timbul sejak menyedari dirinya hamil kali pertama. Menurutnya, sebagai seorang muslim, dia percaya setiap ciptaan Allah SWT pasti ada keistimewaan yang tersendiri. Justeru, ibu kepada Damiya Hanani, 2, yang bekerja sebagai seorang pensyarah di sebuah kolej swasta di Ipoh, Perak ini juga tidak mahu melepaskan peluang istimewa tersebut.

Pada awalnya, suaminya juga agak ragu-ragu dengan keupayaannya. Pelbagai persoalan timbul seperti cukupkah susu? Bagaimana jika perlu bertugas luar daerah dan pelbagai lagi.

Tetapi setelah mengumpul maklumat yang cukup, suaminya menyokong penuh hasrat murni itu dan juga tidak keberatan membantu apa yang patut seperti persediaan mengepam, menyimpan susu dan sebagainya.

Selain mendapatkan maklumat daripada buku-buku dan majalah, Farazehan turut melayari Internet untuk mendapat lebih maklumat tentang penyusuan eksklusif bagi ibu bekerja.

“Alhamdulillah, saya tidak mengalami masalah seperti susu lambat keluar, bengkak susu dan sebagainya. Cuma ketika kali pertama masuk kerja, saya gagal menyimpan stok secukupnya disebabkan tiada peralatan mengepam yang efektif,” ujarnya.

Ketika itu, Farazehan diperkenalkan dengan seorang kaunselor laktasi dan berjaya mengatasi masalah tersebut.

Mengenai cabaran menyusu bagi ibu berkerja, dia bernasib baik kerana mendapat majikan yang memahami, asalkan ia tidak menjejaskan urusan kerja. Dia menggunakan waktu rehat untuk mengepam susu di surau dan lebih menggembirakan apabila ia dilakukan bersama-sama rakan yang turut menyokong aktiviti ini.

Menyusu badan juga tidak menghalang Farazehan menjalani aktiviti harian seperti mengunjungi tempat-tempat awam.

Jika ke pusat membeli-belah, dia akan mengunjungi bilik bayi atau surau untuk menyusu. Jika tiada, dia akan mencari tempat berlindung yang sesuai. Selain itu, Farazehan juga memakai pakaian sesuai untuk memudahkan penyusuan dilaksanakan.

“Saya teringat semasa anak berusia empat bulan, saya telah menyusukan anak saya sambil berjalan dan sebelah tangan lagi memilih barangan di pusat membeli-belah tanpa ada sesiapa menyedarinya dan hanya kelihatan seperti sedang memangku bayi yang sedang tidur!,” ujarnya.

Baginya asalkan, aurat terpelihara, penyusuan badan sangat menyenangkan kerana tidak perlu membawa kelengkapan menyusu yang banyak seperti menggunakan susu formula.

Farazehan yang kini sedang mengandungkan bayi kedua juga berhasrat untuk terus memberi kebaikan susu ibu kepada anak- anak yang seterusnya. Pengamalan menyusukan Damiya Hanani selama satu tahun tujuh bulan (terpaksa berhenti ketika kandungan mencapai tiga bulan atas masalah kesihatan) membuatkan dia ingin berkongsi kebaikan susu ibu dengan ibu-ibu yang lain.

* Sumber Dr Utusan Malaysia 27/7/2008

1 DiNg DoNg!!!:

Anonymous said...

salam nurul dhia..salam perkenalan..nama akak Farazehan Abd. Rahim, panggil je kak fara..TQ sbb sudi attachkan artikel citer kak fara ni dlm blog nurul (or dhia?)..mmg getir sgt dunia exlusive breastfeed ni..puas menangis time kak fara breastfeedkan damiya hannani dulu..refer sana sini nak dptkan petua banykkan susu..alhamdulillah pengalaman nyusukan damiya kak fara apply kat adiknya Danish Husainy (almost 3 months) perjalanan masih panjang..cuma bekalan susu je jadi taruhan, alhamdulillah kali ni kak fara manage to have 130 packed of EBM..arap2 perjalanan exlusive breasfeed Danish Husainy dipermudahkan allah dan lebih berjaya dari Damiya Hannani..Happy breastfeeding..kak fara doakan nurul berjaya..