Saturday, August 2, 2008

* Penyusuan Susu Ibu - Part 1*

Kali ni aku buat catatan ringkas tentang info-info yang aku perolehi dr pelbagai sumber. Insyallah bole dijadikan rujukan asas tuk para ibu.

Kebaikan

Untuk bayi :

  • Susu ibu membekalkan nutrien yang terbaik untuk bayi.
    • Ia mengandungi nutrien dalam kadar yang mencukupi.
    • Kandungannya berubah mengikut keperluan bayi yang sedang membesar
  • Susu ibu, terutamanya kolostrum , menguatkan sistem imuniti bayi.
    • Ia melindungi bayi dari jangkitan seperti cirit birit, selesema, bronkitis dan radang paru-paru.
  • Susu ibu mencegah berbagai masalah alahan seperti asma, ekzema dan kolik bayi
  • Susu ibu mengandungi nutrien tertentu yang amat kritikal untuk perkembangan otak. Ia membantu dalam meningkatkan kecerdikan anak.
  • Ia tidak mudah tercemar dibandingkan dengan cara penyusuan lain.
  • Susu ibu mudah diperolehi pada suhu yang betul setiap masa. Oleh itu ia Tidak susah untuk disediakan.
  • Ia memberi keselesaan dan keselamatan emosi kepada bayi.
  • Ia memberi peluang kepada ibu dan anak untuk berinteraksi sepenuhnya dan meningkatkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak.
Untuk ibu :
  • membantu mengecutkan rahim dan mengembalikannya kepada saiz yang asal dengan cepat serta mengurangkan pendarahan selepas bersalin.
  • membakar kalori dan mengembalikan bentuk badan asal anda dengan cepat.
  • mengurangkan risiko kanser payudara dan kanser ovari.
  • menjarakkan kelahiran jika mengamalkan penyusuan ibu secara sepenuhnya
Lain - lain kebaikan :
  • Tidak memerlukan perbelanjaan dan bekalan susu sentiasa ada.
  • Baik untuk persekitaran kerana tidak memerlukan botol, tin dan kotak-kotak.

Persediaan awal

  • Sebelum kelahiran
  • Semasa kelahiran
  • Selepas kelahiran

Sebelum kelahiran

  • Sediakan diri dan keluarga. Perlu banyak membaca berkaitan penyusuan susu ibu atau menghadiri kelas - kelas antenatal bersama suami
  • Dapatkan maklumat mengenai kumpulan sokongan penyusuan susu ibu yang boleh membantu jika ada perlukan bantuan dari klinik kesihatan atau hospital kerajaan yang berhampiran.
  • Buat perancangan rapi. Rehat secukupnya dan memberi perhatian kepada penjagaan bayi.

Semasa melahirkan

  • Sentuhan kulit

    Hubungan antara ibu dan anak melalui deria sentuhan adalah paling kuat adalah antara satu hingga dua jam selepas kelahiran. Jika melahirkan anak di hospital, jururawat akan meletakkan bayi ke atas dada atau badan ibu untuk mendapatkan sentuhan. Perlu bersedia untuk itu. Sentuhan kulit dengan segera selepas kelahiran adalah penting kerana selepas 2 atau 3 jam kelahiran bayi akan tidur dalam jangkamasa yang lama.

  • Permulaan awal

    Ketika berada bersama - sama dengan bayi dalam suasana yang tenang dan bersentuhan kulit, bayi akan menunjukkan tanda-tanda hendak menyusu seperti memasukkan jari ke dalam mulutnya dan menunjukkan aksi menghisap. Pada masa ini bayi paling cerdas dan bersedia untuk belajar menyusu. Kajian menunjukkan jika bayi menyusu lebih awal, jangkamasa penyusuan akan meningkat. Ini juga dapat mempercepatkan penghasilan susu ibu.

Selepas melahirkan

  • Menyusu mengikut kehendak. (Demand Feeding)

    Menyusu mengikut kehendak bermaksud tiada halangan dalam jangkamasa dan kekerapan penyusuan susu ibu. Ia adalah penting untuk meningkatkan penghasilan susu ibu. Lebih kerap anda menyusu, lebih banyak susu yang dihasilkan. Bayi boleh menyusu 8 ke 12 kali sehari.

  • Ibu dan bayi bersama setiap masa (Rooming - in)

    Rooming - in bermaksud ibu dan bayi tidak dipisahkan lebih dari satu jam pada bila - bila masa ketika berada di hospital. Ini membolehkan bayi menyusu pada bila - bila masa dan meningkatkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak. Ini perlu diteruskan di rumah. Cara ini telah berjaya meningkatkan penyusuan susu ibu. Ketika berada di hospital, maklumkan kepada jururawat bahawa anda ingin bayi anda berada bersama-sama anda.

  • Tiada puting tiruan.

    Dari lahir hingga berumur 6 bulan, bayi yang menyusu susu ibu tidak boleh diberikan puting tiruan. Ini untuk mengelakkan kekeliruan kepada bayi yang boleh menganggu penyusuan.

    Prelacteal Feeds
    Lazimnya bayi lahir dengan simpanan air yang mencukupi sehingga susu dihasilkan. Makanan seperti susu formula, air glukos dan air kosong tidak diperlukan oleh bayi. Kolostrum sahaja memadai untuk bayi anda pada ketika ini

    Pemberian makanan sebelum terhasilnya susu yan banyak (prelacteal) akan menyebabkan

    Bayi

    • tidak mahu menghisap dari ibu kerana susu gantian telah mengenyangkannya
    • tidak akan mendapat kolostrum
    • akan keliru puting sekiranya diberi melalui botol
Ibu
  • susu ibu lambat dihasilkan kerana kurang rangsangan
  • boleh menyebabkan bengkak payudara
  • sukar memulakan penyusuan dan berkemungkinan berhenti menyusu
Apa yang perlu ibu lakukan untuk memastikan penghasilan susu yang mencukupi untuk bayi
  • susui bayi anda sebaik sahaja bayi dilahirkan
  • susui bayi anda dengan kerap pada setiap 2 jam atau mengikut kehendak ibu dan bayi
  • susui bayi anda dari kedua-dua belah payudara
  • susui bayi anda di waktu malam kerana susu banyak dihasilkan di waktu malam
  • perbaiki pengambilan makanan anda. pastikan anda makan makanan seimbang dan minum air secukupnya
  • yakini diri anda. anda boleh menyusui bayi anda
* Sumber Pamplet Unit Pemakanan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor