S: Betulkah menyusu bayi akan menjejaskan bentuk payudara?
J: Semasa hamil, ibu digalakkan berjumpa doktor untuk pemeriksaan payudara. Gunakan baju dalam yang boleh menyokong payudara dengan baik supaya mengikuti perubahan pada payudara semasa hanil. Menyusu anak tidak menyebabkan payudara menjadi kendur. Bagaimanapun, kurang jagaan semasa hamil menyebabkan payudara menjadi kendur.
S: Apakah persediaan yang perlu dibuat semasa hamil?
J: Memakai baju dalam yang boleh dibuka dari depan (nursing bra) boleh membantu ibu menyusu dengan selesa dan mudah.
* Elak menggunakan sabun untuk membersihkan puting payudara. Penggunaan sabun akan mengakibatkan kekeringan di kawasan puting dan areola.
* Ibu perlu membersihkan puting setiap kali selepas mandi. Menggosok dan mengurut puting secara perlahan boleh diamalkan sebagai persediaan untuk menyusu ketika bersalin kelak
* Buat pemeriksaan samada puting rata atau tenggelam.
* Banyak bersenam seperti berjalan-jalan.
* Banyak makan makanan seimbang.
S: Bilakah saya harus mula menyusukan bayi selepas bersalin?
J: Waktu terbaik untuk memulakan penyusuan ialah selepas kelahiran dan perlu dilakukan secepat mungkin jikalau ibu mampu melakukannya. Meletakkan bayi ke dada ibu sebaik sahaja bayi lahir adalah satu pengalaman yang cukup berharga. Dalam tempoh dua jam selepas bayi lahir, kemampuan menghisap berada pada tahap yang tinggi. Sesetengah bayi tidak berminat hendak menyusu sebaik sahaja lahir. Jangan bimbang jika mendapati bayi mengantuk, membiarkan dirinya dibelai atau dilihat sahaja. Mungkin, selepas itu, baru dia berkeinginan hendak menyusu. Hisapan bayi pada payudara merangsang pengeluaran hormon yang akan menjadikan rahim menguncup. Ini menolong meyembuhkan sakit selepas bersalin.
S: Apakah dia kolostrum?
J: Kolostrum dikeluarkan oleh payudara ketika bulan-bulan terakhir kehamilan. Ia kaya dengan protin dan anti-bodi yang dapat memberikan perlindungan kepada bayi dari segi jangkitan penyakit. Pada peringkat awal, bayi hanya memerlukan kolostrum sahaja.
S: Bagaimanakah cara meletakkan bayi pada payudara?
J: · Pegang bayi dengan selesa, rapatkan pada payudara dan mengadap badan ibu. Dadanya perlu mengadap dada ibu dan dagunya perlu berada di atas payudara. Picit puting agar keluar beberapa titisan kolostrum pada puting itu bagi membolehkan bayi merasa atau menghidunya. Ampu payudara dengan sebelah tangan dan sentuh bibir bayi dengan lembut menggunakan puting. Dengan cara ini, bayi akan membuka mulutnya. Beberapa minit kemudian, mulutnya akan terbuka lebih luas. Selepas itu, masukkan puting secara perlahan-lahan ke dalam mulutnya. Masukkan sebahagian besar areola (kawasan hitam pada payudara) ke dalam mulutnya.
* Pastikan bayi boleh bernafas ketika menyusu dan lidahnya berada dibawah puting ibu.
* Pastikan penyusuan tidak menyebabkan rasa sakit. Jika terasa sakit, mungkin ada langkah yang tidak betul.
S: Apakah yang disebut 'Demand Feeding' atau 'permintaan menyusu'
J: Kajian menunjukkan bahawa faktor paling penting untuk menghasilkan susu ialah membenarkan bayi menyusu sebaik sahaja selepas lahir. Ibu yang mula menyusu sebaik sahaja selepas bersalin akan cenderung untuk terus menyusu dengan berkesan. Bila penyusuan lewat dimulakan, kebanyakan ibu akan berasa putus asa untuk meneruskan penyusuan. Oleh itu, membantu ibu memulakan penyusuan secepat mungkin adalah satu cara yang paling berkesan bagi seseorang untuk membantu ibu menyusu. Perkara lain yang tidak kurang penting ialah menggalakkan ibu menyusu sekerap mungkin atau selama mungkin. Ini disebut "permintaan menyusu" (demand) tidak perlu dihadkan berapa lama tempoh menyusu dan jarak diantara setiap penyusuan. Meletakkan bayi dekat dengan ibu didalam bilik yang sama akan menjadikan keinginan menyusu semakin meningkat dan mudah. Kini, semakin banyak hospital mendapati cara ini amat praktikal.
S: Kenapa menyusu awal itu penting?
J: Hisapan di peringkat awal amat penting kerana:-
1. Dapat merangsang pengeluaran susu.
2. Dapat melindungi bayi dari jangkitan.
Ketika bayi menyusu di hari-hari permulaan kelahirannya, dia akan menerima kolostrum yang berwarna kekuningan. Kolostrum ini dan susu sebenar yang keluar beberapa hari kemudian, mengandungi kandungan anti-jangkitan yang tinggi seperti immunoglobulins dan sel-sel putih yang menjadi sumber perlindungan utama daripada jangkitan. Apabila berinteraksi dengan para ibu, anda perlu menekankan bahawa bayi yang menyusu dengan susu ibu adalah lebih sihat dan kurang terkena cirit-birit atau penyakit lain. Sebab kedua kenapa penyusuan awal amat penting ialah kerana ia akan merangsang pengeluaran awal susu. Lebih banyak bayi menghisap payu dara, lebih banyak susu akan dihasilkan kemudiannya.
S: Kenapa bayi tidak diberi susu formula atau air sementara menunggu terbitnya susu ibu?
J: Penting untuk mempastikan bahawa bayi tidak diberi apa jua penyusuan jenis lain kerana ia akan mengganggu penyusuan susu ibu. Jumlah kolostrum yang sedikit dan susu awal yang diperolehi oleh bayi dari payudara adalah mencukupi untuk tempoh beberapa hari sehingga susu ibu keluar sepenuhnya dalam kuantiti yang lebih banyak.
S: Kenapakah bayi yang baru lahir menyusu dengan kerap?
J: Pada peringkat awal, bayi kelihatan ingin menyusu dengan kerap dan ibu menjadi letih untuk melayan permintaannya. Pada waktu ini, peranan dan sokongan anda dan ahli keluarga sangat-sangat diperlukan. Anda perlu menyakinkan si ibu bahawa dia perlu meluangkan banyak masa dengan menyusu bayi dalam tempoh dua, tiga atau empat hari yang pertama. Jika dalam tempoh berkenaan, dia kerap melayan permintaan bayi untuk menyusu, susunya akan menjadi semakin banyak dan bayi akan lebih mudah menghisap di kemudian hari. Jika ibu hendak menjarakkan masa antara penyusuan, tempoh maksimum yang biasa dicadangkan ialah tiga jam. Jika jarak antara penyusuan terlalu lama iaitu melebihi empat jam, bayi akan kelihatan meragam dan tidak senang.
S: Berapa lamakah saya harus menyusu pada sebelah payu dara?
J: · Paling baik ialah memberikan penyusuan yang singkat tetapi kerap kerana cara ini dapat membuatkan susu keluar dengan lebih cepat dan meningkatkan kuantiti susu ibu. Ia juga memberi peluang kepada puting untuk menyesuaikan dengan hisapan bayi.
* Keinginan bayi menyusu boleh dijadikan sebagai panduan kepada ibu.
Bayi akan menentukan dengan sendiri bila masanya dia ingin menyusu. Melalui cara ini, bayi akan menghisap sebelah payudara sehingga susu di payudara sehingga payudara itu kosong Ini membolehkan dia mendapat khasiat susu yang kaya dan berkrim yang terhasil di hujung setiap penyusuan. Susu yang keluar di "akhir" setiap penyusuan digelar "hind milk". Susu "akhir" ini mengandungi khasiat lemak yang diperlukan untuk pembesaran bayi. · Beritahu para ibu supaya menyusu bayi menggunakan payudara yang sebelah lagi apabila tiba waktu penyusuan berikutnya. Bayi akan menunjukkan tanda-tanda samada hisapan pada sebelah payudara sahaja mencukupi atau tidak. Jika ia mencukupi, bayi akan menarik mulutnya keluar atau pun tertidur dipayudara ibu. Jika bayi masih terjaga atau aktif mencari payu dara, ini bermakna dia perlukan susu lagi. Oleh itu, berikan payudara yang sebelah lagi. Di saat-saat awal kelahirannya, seseorang bayi memerlukan penyusuan yang kerap dan banyak bagi menjamin tumbesarannya.
S: Bagaimana mengatasi masalah bayi yang tidur dan tidak mahu menyusu?
J: Sesetengah bayi sentiasa dalam keadaan mengantuk dan lebih banyak tidur daripada berjaga. Bayi seperti ini perlu dikejutkan untuk penyususan. Dalam tempoh 24 jam, adalah biasa bagi seorang bayi untuk menyusu sebanyak 12 kali atau lebih. Sekurang-kurangnya, bayi perlu mendapat 6 atau 7 penyusuan sehari. Bayi yang sentiasa mengantuk, mungkin disebabkan oleh jangkamasa bersalin yang lama atau kesan ubat-ubatan yang diberikan kepada ibu ketika proses bersalin.
S: Apakah dia rooming-in?
J: Galakan ibu agar berada di bilik yang sama dengan bayi bagi membolehkan ibu menyusu atau membelai bayinya. Penyusuan pada waktu malam amat penting bagi bayi dan ibu. Ibu mendapat faedah dari segi rangsangan pengeluaran susu yang berkesan. Jika bayi diberi susu sebaik sahaja dia terjaga, bayi itu tidak akan mengganggu ibu-ibu lain hendak tidur. Secara alternatif, jika bayi berada di dalam pusat penjagaan bayi di hospital, ibu boleh meminta agar bayi dibawa kepadanya sebaik sahaja bayi terjaga.
S: Bilakah susu mula dihasilkan?
J: Diantara hari pertama dan keempat selepas kelahiran, susu sebenar yang berwarna putih akan mula dikeluarkan. Pada peringkat ini, kolostrum akan bercampur dengan susu baru, menjadikan ia kelihatan pekat dan berkrim. Secara perlahan-lahan iaitu kira-kira seminggu kemudian, kolostrum akan berkurangan dan susu kelihatan lebih cair, kebiruan dan berkeadaan seperti air. Ini rupa susu ibu yang sebenar.
* sesetengah ibu mendapati payudara mereka penuh dan berat. Ini dipanggil bengkak susu.
* sesetengah bayi akan kehilangan berat badan dalam tempoh beberapa minggu pertama. Bagaimanapun, berat bayi akan meningkat sebaik sahaja payudara ibu mula menghasilkan susu.
S: Bagaimana saya boleh mengatasi masalah letih/pucat selepas bersalin.
J: Galakkan ibu supaya meringankan kerja-kerja rumah. Jangan berlebihan melakukannya. Cuba dapatkan bantuan daripada kawan-kawna dan saudara mara pada minggu pertama dan seterusnya. Ibu akan mudah berasa letih. Ia mengambil masa beberapa minggu untuk pulih seperti asal. Lebih baik berehat secukupnya pada waktu siang. Pada peringkat awal, tugas menjaga bayi tanpa mengira siang atau malam adalah agak berat bagi ibu. Minggu terawal berada di rumah adalah waktu yang amat penting untuk ibu dan bayi. Inilah masanya ibu dan bayi membentuk hubungan kasih sayang yang kukuh antara satu sama lain. Ingat! Soal bayi lebih penting. Perkara lain boleh diketepikan untuk sementara waktu. Pada waktu ini, ibu mungkin terasa tidak berminat hendak keluar rumah. Ibu memang digalakkan menyendiri di rumah. Jika ibu terasa tidak berminat hendak keluar rumah, dia boleh keluar bersama bayi tanpa perlu bersusah payah membawa botol dan susu formula. Sesetengah ibu bimbang sekiranya susu akan berkurangan di peringkat awal. Ini kerana dia kurang mengalami bengkak susu dan susu kelihatan cair. Anggapan ini tidak benar. Ibu harus ingat bahawa jika dia menyusu setiap kali bayi memintanya, susunya akan sentiasa berada dalam keadaan mencukupi untuk bayi.
S: Bagaimana mempastikan bayi mendapat cukup susu?
J: Jika ibu menyusu bayi berdasarkan keperluan bayi dan dengan kerap, ibu pasti akan mengeluarkan susu secukupnya. Cara mengenalpasti ialah:-
* Bayi membuang air sebanyak 7 hingga 8 kali sehari (hanya dengan meminum susu ibu sahaja tanpa mencampurkannya dengan jus atau susu (formula)
* Berat badan bayi bertambah. Berat mingguan perlu diperiksa sepanjang bulan.
* Bayi membuang air besar dalam kadar yang tetap. Tetapi tidak semestinya setiap hari. Sesetengah bayi pula membuang air besar dengan kerap. Manakala ada yang tidak membuang air besar selama seminggu.
* Mata bayi kelihatan bercahaya. Kullit dan ototnya kelihatan berada dalam keadaan baik.
S: Apakah cara yang harus saya ikuti untuk menentukan kejayaan menyusu bayi?
J: Pastikan ibu berada dalan keadaan selesa dan tenang ketika menyusu bayi. Ibu akan tahu bahawa susunya sudah keluar dalam tempoh kira-kira satu atau dua minit selepas bayi mula menghisap. Ini berdasarkan:-
* Pola hisapan bayi akan berubah kepada "hisap dan telan - hisap dan telan". Ini bermakna bayi sedang minum susu ibu. Keadaan ini PASTI AKAN SENTIASA berlaku setiap kali bayi menghisap.
* Payudara akan menjadi suam panas dan seperti penuh. Ibu akan terasa kawasan sekeliling payudara berdenyut sedikit. Pada masa yang sama, susu dari payudara sebelah lagi mungkin turut menitis keluar. Bagaimanapun, keadaan ini JARANG berlaku setiap kali penyusuan.
S: Bagaimana jika susu tidak cukup?
J: Kadangkala, ibu beranggapan bahawa pengaliran susu amat kurang dan tidak mencukupi untuk bayi. Sebenarnya, anggapan ini salah. Ibu perlu yakin bahawa susu ibu adakah makanan terbaik untuk bayi. Jika ibu terasa susunya kurang, dia boleh menambahnya dengan cara:
* menyusu dengan lebih kerap. Lebih banyak bayi menghisap pada payudara, lebih banyak susu akan dihasilkan. KEKERAPAN MENYUSU AKAN MENGHASILKAN LEBIH BANYAK SUSU.
* Bertenang ketika menyusu akan membantu susu mengalir dengan baik. Ibu boleh makan makanan ringan, minum, membaca buku, mendengar muzik, menonton TV atau melakukan senaman pernafasan ketika bayi mula menyusu. Tumpukan perhatian kepada otot-otot. Cara ini juga boleh menjadikan ibu tenang.
* Berehat pada waktu siang. Ibu perlu tidur lebih di siang hari bagi menggantikan gangguan tidur di waktu malam kerana bayi hendak menyusu. Menjaga bayi baru lahir adalah satu tugas yang meletihkan. Ibu perlu menggalakkan bayi dan anak kecil yang lain tidur bersamanya pada waktu tengahari.
* Makan makanan berkhasiat. Ibu perlu makan makanan seimbang. Bukan makanan ringan atau yang tidak berkhasiat.
S: Kenapa susu saya kelihatan cair?
J: Jika bayi kelihatan meragam dan tidak puas hati, dia mungkin tidak menerima susu yang kaya dan berkrim di hujung penyusuan. Susu ini dipanggil "susu akhir" atau "hind milk". Cara terbaik untuk memperbetulkan masalah ini ialah dengan memberikan susu dengan sebelah payudara sahaja setiap kali menyusu. Cara ini dapat mempastikan yang bayi menerima semua peringkat susu ibu iaitu "susu pertama", "Susu pertengahan" dan "susu akhir". "Susu pertama" atau "fore milk" yang berwarna kebiruan dan kelihatan seperti air biasa bertujuan untuk menghilangkan dahaga. "Susu pertengahan" mengandungi lebih khasiat protin. Manakala "susu akhir"kelihatan lebih pekat dan berkrim kerana kaya dengan khasiat lemak. Bayi perlukan "susu akhir" untuk membolehkan berat badannya meningkat. Cara ini baik untuk membantu bayi yang kurang berat badan menambah berat badannya. Pastikan ibu mengingati yang dia perlu menyusu dengan payudara sebelah lagi apabila tiba waktu penyusuan berikutnya. Ibu boleh lekatkan pin pada baju dalam untuk memudahkan dia mengingatinya. Bayi yang kurang berat badan sejak lahir memerlukan penyusuan yang kerap sepanjang waktu siang dan malam.
S: Susu saya mengalir dengan pantas, menyebabkan bayi saya seing tersedak, bagaimana saya mengatasi masalah ini?
J: Jika bayi sering tersedak kerana susu mengalir terlalu pantas, ibu boleh melakukan perkara di bawah:
* Hentikan penyusuan selama satu minit. Kemudian, masukkan semula puting ke mulut bayi apabila pengaliran susu semakin perlahan. Untuk menarik keluar mulut bayi tanpa menyebabkan puting sakit, ibu boleh masukkan jari bersih di hujung mulut bayi. Satu cara lain untuk mengatasi masalah ini ialah dengan memerah susu terlebih dahulu bagi mengeluarkan pengaliran susu yang pantas itu.
* Menyusu pada kedudukan berbaring dengan meletakkan bayi di atas dada ibu akan menyebabkan bayi menghisap susu naik ke atas. Ini bermakna bayi menghisap kearah bertentangan dengan graviti. Oleh itu, pengaliran susu naik ke atas menjadi agak lambat berbanding pengaliran susu turun ke bawah.
* Ibu mungkin menggunakan kaedah menyusu cara ini di waktu awal pagi atau di waktu permulaan penyusuan sahaja dimana pada waktu itu susu biasanya mengalir dengan pantas. Apabila tiba di akhir penyusuan, ibu boleh bertukar kepada menyusu cara duduk. Cara ini lebih menjamin payudara dapat dikosongkan dengan sempurna.
* Menyusu pada kedudukan baring akan mengurangkan pengaliran susu. Jadi pastikan ibu sentiasa memriksa keadaan bayinya. Jika bayi tidak perlu menyusu dalam kedudukan ini, lebih baik menyusu cara duduk.
S: Saya dapati susu meleleh dan membasahi baju, apa yang harus saya lakukan?
J: Pada peringkat awal, ibu mengalami masalah susu sering meleleh keluar dari payu dara di waktu-waktu antara penyusuan. Masalah ini akan berkurangan apabila payudara dapat menyesuaikan dengan jadual penyusuan dan otot-otot di sekitar puting berupaya mengawal pengaliran keluar susu di waktu-waktu berkenaan.
* Cuci payudara menggunakan air suam atau sejuk dan cuci lelehan itu agar ia tidak mengotorkan baju atau baju dalam. Penting untuk menukar pelapik baju dalam dengan kerap agar puting tidak sakit atau berada dalam keadaan lembab. Jangan gunakan pelapik plastik. Selain pelapik, baju dalam, ibu digalakkan menggunakan saputangan tetapi tidak di galakkan menggunakan tisu.
* Ketika menyusu, alaskan dengan lampin bersih atau cawan agar susu boleh meleleh ke dalamnya. Seelok-eloknya, jangan pakai baju dalam agar susu boleh mengalir bebas.
S: Apa yang dikatakan "keliru puting" yang menyebabkan bayi enggan menyusu?
J: Punca utama kenapa bayi enggan menyusu ialah bayi terlebih dahulu di beri susu botol sewaktu di hospital. Bayi menjadi keliru dengan kelainan puting ibu dan tidak mahu menghisap dengan betul di payu dara ibu. Dia sukar hendak belajar memasukkan puting kedalam mulutnya. Dalam kedudukan menghisap yang baik, puting dan areola akan meregang keluar bagi membentuk seolah-olah satu puting yang panjang di dalam mulut bayi. Lidah bayi akan menekan areola ke atas sehingga terkena lelangit mulutnya. Cara ini akan menyebabkan susu mengalir keluar. Dalam kedudukan menghisap yang tidak baik, puting tidak berada cukup jauh ke dalam mulut bayi. Bayi hanya menghisap hujung puting sama seperti kaedah menghisap puting botol. Dengan cara ini, susu tidak akan keluar. Malah akan menyebabkan puting ibu terasa sakit. Kekeliruan terhadap puting terjadi apabila bayi diberikan sekali atau dua kali penyusuan menggunakan botol. Jika ibu mencampurkan susu ibu dan susu botol, bayi mungkin mempunyai kecenderungan untuk memilih susu botol dan menolak susu ibu.
S: Bagaimana jika bayi mengalami sakit tumbuh gigi dan enggan menyusu?
J: Jika bayi mendapat sakit mulut dan enggan menyusu, jangan paksa dia menyusu. Tunggu sehingga dia bersedia untuk menyusu. Dalam masa itu, perah susu untuk menjamin kelancaran pengaliranya. Kemudian, cuba letakkan bayi ke payudara. Dengan cara ini, bayi akan merasai pengaliran susu masuk ke mulutnya dengan cepat. Malah, selepas beberapa minit menghisap, bayi sudah dapat merasai sedikit susu masuk ke mulut. Cadangkan ke ibu agar:-
* Bawa bayi berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan mulut, kerongkong dan telinga. Keengganannya mungkin disebabkan dia sakit. Dapatkan ubat yang boleh melegakan gusinya yang sakit.
* Jika bayi masih tidak mahu menyusu, perah susu dan berikan susu itu menggunakan sudu, cawan atau penitis ubat. Selepas beberapa hari, bayi akan kembali menyusu di payudara.
* Cuba menyusu di waktu bayi sedang tidur atau mengantuk. Pada waktu ini, bayi tidak begitu sedar dan akan menghisap dengan baik.
* Cuba menyusu di dalam bilik yang sunyi dan jauh dari gangguan. Cuba menyanyi dan mendodoikan bayi.
* Apabila bayi kembali menyusu di payudara, ibu perlu menyusu dengan kerap selama beberapa hari bagi menambah semula pengaliran susu yang terbantut ketika bayi enggan menyusu sebelum ini.
S: Saya dapati susu saya berkurangan selepas mengambil pil perancang, apa harus saya buat?
J: Pil perancang boleh menybabkan susu ibu berkurangan. Kadang kala, bayi enggan menyusu kerana perubahan rasa pada susu ibu yang di sebabkan oleh perubahan hormon setelah memakan pil. Jika ibu memberitahu anda yang dia memakan pil dan bayi mula cerewet setiap kali waktu menyusu atau tidak mahu menyusu sama sekalli, anda perlu merujuk ibu berkenaan kepada doktor atau klinik perancang keluarga agar ibu boleh mendapatkan kaedah perancang yang lain. Kadang kala, bayi enggan menyusu selepas berusia enam menggu. Ini mungkin berkaitan dengan pemeriksaan doktor selepas ibu tamat tempoh berpantang dan pengambilan pil selepas pemeriksaan itu.
S: Bolehkah saya menyusu jika puting saya rata?
J: Bayi masih boleh menyusu walaupun puting ibu rata atau tenggelam. Puting yang rata boleh dikeluarkan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk atau menggunakan pam payudara sebelum penyusuan. Selepas ia ditarik keluar, puting akan cepat-cepat dimasukkan ke dalam mulut bayi. Puting akan berada dalam keadaan lebih baik tidak lama selepas bayi mula menghisap. Lama kelamaan, hisapan bayi akan menyebabkan puting yang rata atau tenggelam menjadi timbul. Dalam soal ini, ibu boleh berjumpa dengan Kaunselor PPPIM.
S: Bagaimana jika saya membawa bayi keluar dan saya harus menyusu?
J: Bayi yang menyusu susu ibu mudah keluar dari rumah bersama ibu. Selalunya, bayi akan di bawa ke tempat-tempat yang memudahkan dia menyusu di mana sahaja. Biasanya, pusat membeli-belah ada menyediakan bilik yang sesuai untuk para ibu menyusu anak. Jika ibu terpaksa keluar tanpa membawa bayi bersamanya, ibu perlu memerah susunya dan diberi kepada bayi menggunakan sudu atau cawan.
PERSATUAN PENASIHAT DAN PAKAR LAKTASI MALAYSIA (PPPLM)
7A, Jalan Kolam Air, Kg Klang Gate Baru, 53100 Kuala Lumpur
TEL: 03 - 4107 3678 / Faks: 03 - 4107 2862
E-mel: ppplm@susuibu.org / Website: www.susuibu.org
* Sumber Dari PPPLM
Sunday, May 3, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 DiNg DoNg!!!:
good info...
btw.ada tag di blog saya utk anda...
Post a Comment